Wednesday, December 3, 2014

Hal Ehwal Tariqat Ghazaliyyah

1.0 MATLAMAT

Matlamat agung dalam Tariqat Ghazaliyyah ialah untuk “memandang Wajah Allah” khususnya di akhirat nanti. Matlamat sepanjang hayat di dunia ini dari segi kerohaniannya ialah berusaha untuk menyelesaikan ilmu mu’amalah dan mencapai kedudukan yang terbaik yang mampu dicapai dalam ilmu mukasyafah.

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin : “Pengetahuan yang menuju ke akhirat itu terbahagi kepada ilmu mu’amalah dan ilmu mukasyafah.”

Katanya lagi dalam Ihya’ : “Yang aku maksudkan dengan “ilmu akhirat” ialah dua iaitu ilmu mu’amalah dan ilmu mukasyafah. Matlamat ilmu mu’amalah ialah ilmu mukasyafah, dan matlamat ilmu mukasyafah ialah mengenal Allah Ta’ala.”

Kedua-dua ilmu jalan ke akhirat ini ialah ilmu wilayah hati. Persoalan hati ini menurut Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna dalam Usul 20, Usul ke-17 : “Amal hati lebih penting daripada amal anggota zahir. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang amal dituntut oleh syarak sekalipun taraf tuntutan itu berbeza.”

Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali merupakan kitab huraian “soal hati” yang terbesar dalam Islam. Imam Al-Ghazali sendiri ialah mahaguru tabib kepada penyakit-penyakit hati, sebagaimana akui Prof. Hamka dalam bukunya “Tasauf Moden” : “Imam Al-Ghazali, orang tua (orang lama) dan qiblat kepada segala tabib (semua doktor) jiwa…….”

Dalam kitab Al-Munqiz min adh-Dhalal pula Imam Al-Ghazali mengakui : “Aku berkeyakinan bahawa orang-orang sufi adalah golongan yang mengikut jalan yang semata-mata menuju Allah. Cara hidup mereka adalah sebaik-baik kehidupan, jalan (tariqat) yang dilalui adalah jalan (tariqat) yang paling tepat, dan akhlak mereka dalah sebersih-bersih akhlak.”

Sementera itu Prof. Dr. H. Aboebakar Aceh menulis dalam bukunya Pengantar Ilmu Hakikat & Ma’rifat : “Imam Al-Ghazali mengambil keputusan, bahawa ma’rifat yang yakin bukanlah ma’rifat orang awam, bukanlah ma’rifat yang diperolehi ulama ilmu kalam dan filsafat (falsafah), tetapi adalah yang ditujuinya ma’rifat menurut arti tasawwuf, yang berdasarkan atas perasaan, kerohanian dan mukasyafah keTuhanan.”

Antara matlamat lain tarbiyyah dalam ilmu mukasyafah ialah : “Kamu hendaklah berabdi/beribadah kepada Allah seolah-olah kamu memandang-Nya.” (Bukhari & Muslim)

Lagi, untuk mencapai maqam sentiasa dalam keadaan mengingati Allah dengan mengalahkan pengaruh syiatan : “Syaitan telah menguasai mereka lalu membuatkan mereka lupa mengingati Allah.” (Al-Mujadilah : 19)

“Kalaulah tidak kerana syaitan itu sering berputar di sekeliling hati anak-anak Adam, nescaya mereka akan dapat melihat kerajaan langit dan bumi.” (Ahmad)

Antara matlamat lain dalam tarbiyyah ilmu mu’amalah ialah : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak (akhlak zahir dan akhlak batin) yang mulia.” (Ahmad, Al-Hakim, Thabrani dll)

“Tidak ada satu perkara yang paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di Hari Qiamat kelak lebih daripada akhlak (zahir dan batin) yang mulia.” (Abu Dawud, Turmizi)

Mencapai ma’rifatullah dan cinta Allah.


2.0 AMALAN

Zikir harian Tariqat Ghazaliyyah adalah sebanyak 1,000 kali pada setiap hari iaitu :

Hari Ahad – Ya Hayyu Ya Qayyum.
Hari Isnin – Laa haula wa laa quwwataillaa billaa hil ‘aliyyil ‘aziim.
Hari Selasa – Selawat ke atas Nabi saw (apa-apa jenis selawat yang sesuai).
Hari Rabu – Istighfar sekuarang-kurangnya : “Astaghfirullaahal ‘aziim”.
Hari Khamis : Subhanallaahi wa bihamdih, subhanallahil ‘aziim.
Hari Jumaat : Ya Allah.
Hari Sabtu : Laa Ilaahaillallaah.

Wirid harian tariqat ini pula yang dibaca 10 kali setiap satunya ialah :

لَا إِلهَ إِلَّا اللهَ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ, لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْئٍ قَدِيْرٌ

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ رَبُّ المَلاَئِكَةِ وَالرُّوحِ

سُبْحَانَ اللهِ العَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ الْـمَلِكُ الْـحَقُّ المُبِينُ

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

اللَّهمَّ صلِّ على سيدنا محمد عبدِكَ ونبيِّكَ ورسُولِكَ النَّبيِّ الأُمِّيِّ وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم

أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم: رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ, وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُون


Zikir dan wirid ini disusun untuk melahirkan keseragaman amal dan pertautan hati, bukannya wajib. Seperti mana doa yang dibacakan dalam majlis-majlis, semua orang mengaminkan doa yang sama. Padahal tidak ada kemestian pun doa kita kena mengikut susunan doa si pembaca doa.

Begitu juga kita lihat di sebahagian sekolah ada ayat-ayat Al-Quran atau lafaz zikir tertentu yang dibaca beramai-ramai secara seragam dalam perhimpunan harian pada waktu pagi, padahal setiap murid boleh membaca apa sahaja ayat Al-Quran atau lafaz zikir yang disukainya, tidak ditetapkan pun dalam Islam. Ada sekolah yang pelajar-pelajarnya membaca beramai-ramai Ayat Kursiy, ada sekolah yang membaca Al-Fatihah, ada juga yang membaca 3 Qul, ada pula yang membaca Surah An-Naas 3 kali, dan sebagainya.

Fahamlah kita bahawa apabila sesuatu perkumpulan itu melakukan amal yang sama, antara matlamat mereka ialah untuk mendapatkan keseragaman dan semangat kekitaan.


3.0 TARIQAT

Sebelum dan pada zaman Imam Al-Ghazali dan adiknya Imam Ahmad  Al-Ghazali, perkataan “tariqat” membawa erti jalan/cara/kaedah dan bukannya organisasi/berstruktur. Selepas zaman mereka barulah muncul tariqat-tariqat dalam bentuk organisasi. Maka muncullah nama pelbagai tariqat sebagaimana yang kita kenali sampailah ke hari ini. Oleh umumnya itu ada 3 jenis tariqat iaitu :
1.       Tariqat yang membawa maksud jalan/kaedah/cara/manhaj/method.
2.       Tariqat yang bersifat jalan dan organisasi sekaligus.
3.       Dan ada pula tariqat yang lebih bersifat organisasi.

(*Prof. Dr. H. Aboebakar Aceh dalam bukunya Pengantar Ilmu Hakikat & Ma’rifat menulis : “Perkataan tariq ini rupanya menarik perhatian orang sufi lalu dijadikan suatu istilah dengan pengertian-pengertian tertentu. Dengan demikian perkataan tariq atau tariqah itu menurut L. Massignon mempunyai dua pengertian dalam dunia sufi. Pertama, dalam abad ke IX dan ke X Masehi bererti cara pendidikan akhlak dan jiwa bagi mereka yang berminat menempuh hidup sufi. Kedua, sesudah abad ke XI Masehi, tariqah itu mempunyai pengertian suatu gerakan yang lengkap untuk memberikan latihan-latihan rohani dan jasmani dalam segolongan orang-orang Islam menurut ajaran-ajaran dan keyakinan-keyakinan tertentu.)

Tariqat Ghazaliyyah bersifat jalan/kaedah/cara, dan masih dikekalkan sifatnya sehinggalah ke hari ini. Dinamakan Tariqat Ghazaliyyah bukanlah kerana ia satu organisasi, tetapi sekadar untuk menandakan bahawa ia adalah jalan yang diasaskan oleh Imam Al-Ghazali. Tariqat Ghazaliyyah pernah cuba diorganisasikan sebagaimana tariqat-tariqat lain, antaranya oleh Abdul Qahir Abu Najib as-Suhrawardi dan Syeikh Muhammad As-Suhaimi, tetapi tidak mendapat sambutan daripada ikhwan tariqat ini sendiri. Oleh itu, Tariqat Ghazaliyyah lebih selesa sebagaimana manhaj asalnya sehinggalah ke hari ini.

Dari satu sudut, pegangan sebegini membuatkan nama Tariqat Ghazaliyyah tenggelam berbanding nama tariqat-tariqat lain. Sangat kurang nama syeikh-syeikh Tariqat Ghazaliyyah yang dikenali ramai kecuali di peringkat awal sahaja seperti ‘Ainul Qudhat, Ibnu Tumart, dan Abdul Qahir Abu Najib as-Suhrawardi. Selepas itu umumnya tidak ada lagi nama syeikh-syeikh Tariqat Ghazaliyyah yang masyhur. Lebih-lebih lagi kerana mereka memang tidak mahu masyhur dan Tariqat Ghazaliyyah bukanlah hadir dalam bentuk organisasi, maka nama-nama pimpinannya tidaklah selalu disebut-sebut.

Sememangnya Tariqat Ghazaliyyah dan ikhwannya sangat “low-profile”. Selepas Imam Al-Ghazali dan Imam Ahmad Al-Ghazali, mungkin tidak ada sesiapa pun yang menggunakan gelaran imam. Bahkan gelaran syeikh, maulana atau seumpamanya pun tidak dipakai. Sebab itu kita biasa menyebut nama tokoh-tokohnya dengan nama sahaja seperti Ibnu Tumart, ‘Ainul Qudhat, Abdul Qahir Abu Najib dan lain-lain. Cuma orang kebelakangan ini yang menulis gelaran syeikh dan lain-lain sebagai tanda penghormatan terhadap mereka. Hal ini bukanlah satu kesalahan, cuma ia bukanlah kebiasaan dalam Tariqat Ghazaliyyah.

Ikhwan Tariqat Ghazaliyyah juga memang tidak menisbahkan nama mereka kepada tariqat ini. Contohnya, kita tidak akan terjumpa ikhwan yang namanya Abu Bakar al-Ghazali, Yahya Gilbert Al-Ghazali, Abdullah Wong Al-Ghazali, Husain Yamata Al-Ghazali, Abu Zulfiqar Al-Ghazali atau sebagainya. Yang biasa kita jumpa contohnya Abu Bakar an-Naqsyabandi (Tariqat Naqshabandiyyah), Yahya Gilbert Asy-Syazili (Tariqat Syaziliyyah), Abdullah Wong Al-Qadiri (Tariqat Qadiriyyah), Abdur Rahman Al-Haqqani, Abdullah Tahir al-Khalidi dan sebagainya. Sekiranya ada terjumpa ikhwan yang melakukannya, hal itu tidaklah menjadi satu kesalahan cuma ia bukanlah budaya dalam Tariqat Ghazaliyyah.

Hanya Imam Muhammad Al-Ghazali dan adiknya Imam Ahmad Al-Ghazali yang bergelar imam dan menyandarkan nama mereka kepada Al-Ghazali. Gelaran itu pun bukan kerana mereka menisbahkannya kepada Tariqat Al-Ghazaliyyah tetapi kerana mereka berasal dari Ghazalah di Tus, Khurasan.

Oleh sebab itu sangat sukat untuk kita mengesan ikhwan Tariqat Ghazaliyyah ini di Nusantara. Sudahlah mereka tidak menisbahkan diri mereka kepada tariqat ini, umumnya mereka tidak berorganisasi (memakai tariqat ini untuk diri sendiri atau dalam kumpulan kecil sahaja), bersikap sangat ‘low-profile’,  dan sebahagiannya pejuang-pejuang menentang penjajah (yang membuatkan mereka terpaksa merahsiakan diri atas sebab-sebab tertentu).

Kalau kita perhatikan sejarah Nusantara, ramai juga tokoh ulama yang kita tidak tahu apakah tariqat yang mereka lalui kerana tidak pernah dinyatakannya.  Apabila orang-orang kemudian membuat kajian terhadap tokoh-tokoh ini, mereka pun membuat agak-agakan bahawa tokoh ini bertariqat sekian-sekian. Sebenarnya sebahagian daripada mereka itu bertariqat Ghazaliyyah.

Perlu difahami juga tentang maksud “tariqat al-Ghazaliyyah” yang terdiri daripada beberapa jenis :
1.       Tariqat atau jalan Imam Al-Ghazali dalam agama dan kehidupannya. Tariqat jenis ini hanyalah untuk Imam Al-Ghazali dan sangat sukar dihampir oleh orang lain. Yang agak hampir dengan tariqat jenis ini antaranya ialah Imam Ahmad Al-Ghazali dan kemudiannya mungkin Syeikh ‘Ain al-Qudhat. Orang yang hendak berusaha mengikuti tariqat ini hendaklah berusaha menguasai ilmu-ilmu yang dikuasai oleh Imam Al-Ghazali dan pandangan-pandangannya.  Hendak menguasai satu cabang sahaja daripada ilmu-ilmunya pun sudah sangat sukar, apatah lagi seluruh ilmunya. Pendek kata, Tariqat Al-Ghazaliyyah jenis ini sudah tidak ada lagi pada hari ini.
2.       Tariqat yang dimaksudkan sebagai jalan kerohanian Imam Al-Ghazali. Yang inilah yang biasanya dimaksudkan oleh umat Islam dengan Tariqat Al-Ghazaliyyah. Umumnya tariqat jenis ini boleh dilalui oleh semua orang dan masih ada sehingga ke hari ini.
3.       Tariqat yang membawa maksud suatu organisasi jemaah orang-orang yang mengamalkan sesuatu jalan kerohanian (dalam skop penulisan ini bermaksud suatu organisasi jemaah orang-orang yang mengamalkan jalan kerohanian yang pernah dilalui Imam Al-Ghazali). Umumnya tariqat-tariqat yang ada hari ini adalah dalam bentuk ini.  Namun Tariqat Ghazaliyyah sangat sukar untuk diorganisasikan menyebabkan ia masih kekal sebagai tariqat jenis yang kedua di atas tadi. Memang masih ada organisasi Tariqat Ghazaliyyah di sana-sini tetapi boleh dikatakan semuanya kecil-kecilan dan tidak kukuh, sekadar untuk beraktiviti bersama-sama pada masa-masa tertentu sahaja.

Persoalan : Saya takut mengambil Tariqat Ghazaliyyah, takut “terikat”.
Pencerahan : Hendak terikat dengan apa itu? Tariqat Ghazaliyyah umumnya bukanlah satu organisasi atau jemaah. Bahkan mata pelajaran dalam tariqat ini boleh terus diamalkan walaupun kita bukan ikhwan tariqat ini, sebagaimana Tariqah Alawiyyah. Masalah “terikat” langsung tidak wujud dalam Tariqat Ghazaliyyah.

Persoalan : Saya mahu mengamalkan amalan-amalan Tariqat Ghazaliyyah dan mahu menghadiri majlis-majlis yang berkaitan dengannya tetapi saya tidak mahu melakukan apa-apa proses seperti berbai’ah, menerima talkin, mengambil ijazah dan sebagainya. Bolehkah?
Jawapan : Tentu sahaja boleh. Tidak ada kewajipan untuk hal itu semua.


4.0 PENAMPILAN

Tariqat Ghazaliyyah tidak mempunyai apa-apa perkara yang khas dari segi penampilan. Tidak disyaratkan jenis pakaian atau perhiasan tertentu seperti jenis serban, cara lilitan serban, bentuk kopiah, rekabentuk jubah, bertongkat, cincin, selendang, selempang atau sebagainya. Pakaiannya pakaian biasa sehari-hari. Sebegitulah pakaian Imam Al-Ghazali. Namun digalakkan supaya membiasakan memakai kopiah, serban dan jubah apabila berpeluang. Hendaklah berjanggut walaupun sekadar satu helai lagi pendek. Tidak mengapa sekiranya memang jenis yang tidak tumbuh janggut walau sehelai, kerana penyakit, kerana tugas atau yang seumpamanya.
Berjanggut menjadi pemberatan dalam tariqat ini antaranya berdasarkan pesan-pesan Rasulullah saw :

“Cukurlah misai dan peliharalah janggut.” (Bukhari, Muslim)

“Berbezalah kamu daripada orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (Bukhari, Muslim)

 “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, kerana mereka mencukur janggut dan memanjangkan misai.” (Muslim)

“Kami diperintahkan supaya mencukur misai dan memanjangkan janggut.” (Muslim)

“Sepuluh perkara termasuk fitrah – memotong misai, memelihara janggut….” (Muslim)

“Kamu peliharalah janggut dan potonglah misai, dan janganlah kamu mencontohi Yahudi dan Nasrani.” (Ahmad)

“Sesiapa yang tidak memotong misainya, dia bukanlah daripada golongan kami.” (Turmizi)

“Janganlah kamu mencontohi orang-orang asing, biarkanlah janggut kamu panjang.” (Al-Bazzar)

“Sesunggguhnya orang-orang musyrik itu memelihara misai mereka dan mencukur janggut mereka. Oleh sebab itu berbezalah kamu daripada mereka, dengan memelihara janggut dan memotong misai.” (Al-Bazzar)

Pengasas tariqat ini iaitu Imam Al-Ghazali menulis di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin :
1.       “Mencabut bulu di bawah bibir itu adalah bid’ah.”
2.       “Seorang lelaki yang datang kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai saksi dalam suatu hal, maka ditolak kesaksiannya kerana dia (orang itu) mencabut bulu di bawah bibirnya.”
3.       “Umar bin l-Khattab dan Ibn Abi Laila qadhi Madinah menolak kesaksian orang yang mencabut janggutnya.”
4.       “Janggut itu adalah sebahagian dari tanda kesempurnaan kejadian.”

Terdapat persamaan dengan Tariqat Al-Alawiyah dalam hal penampilan diri ini sebagaimana nukilan Habib Hasan bin Mohammad Al-Attas di http://habibhasanalattas.blogspot.com/2009/12/tarikat-ahlul-bait-3.html : “Seorang pengikut Tarikat al-Alawiyyah tidak dapat dikesan dengan pakaian atau amalan tertentu. Tarikat ini tidak menekankan kepada pakaian seragam atau wirid-wirid yang tertentu.”


Kesimpulan keseluruhannya, sekiranya seseorang syeikh mahu mewujudkan apa-apa identiti pada penampilan ikhwannya, tidaklah menjadi kesalahan tetapi hendaklah dijelaskan bahawa hal itu tidak berada dalam sukatan tarbiyyah Tariqat Ghazaliyyah.


5.0 “PAKAIAN” DIRI

Setiap ikhwan Tariqat Ghazaliyyah hendaklah berusaha untuk melalui sekurang-kurangnya satu kali keseluruhan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dengan pengajian.Jika tidak mendapat majlis pengajiannya, bolehlah ditampung dengan pembacaan sendiri sekiranya mampu.Setelah itu memadailah dengan menjadikan kitab Minhaj al-‘Abidin sebagai pakaian diri tanpa perlu mengulang lalu kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Sekiranya berpeluang untuk sentiasa memakai kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, pakaian itu adalah lebih baik.

Sekiranya tidak mendapat majlis kitab Ihya’ dan tidak berkemampuan untuk membaca sendiri dan memahaminya, memadailah dengan mengikuti majlis kitab Minhaj al-‘Abidin. Sekiranya tidak dapat juga, memadailah dengan membaca sendiri kitab Minhaj. Sekiranya tidak berkeupayaan juga, ikutilah mana-mana majlis pengajian kitab tasawuf tetapi masih berusaha untuk mencari majlis kitab Minhaj.

Dalam konteks alam Nusantara ini, biasanya paling kurang pun kitab atau majlis kitab Siyarus Salikin (karya Syeikh Abdus Samad al-Falimbani) dijadikan “pakaian” memandangkan isi kandungannya bolehlah dikatakan sebagai ringkasan kitab Ihya’ di alam Nusantara ini.


6.0 MAJLIS SAMPINGAN

Dalam Tariqat Ghazaliyyah, tidak ada sebarang majlis khusus mingguan, bulanan, tahunan dan sebagainya seperti majlis haul atau maulid. Sekiranya ada dilakukan dan dibudayakan, hal itu tidaklah menjadi kesalahan, cuma hendaklah difahamkan bahawa hal itu bukanlah daripada Tariqat Ghazaliyyah tetapi hanyalah aktiviti tambahan yang difikirkan sesuai oleh syeikh/mursyid untuk ikhwan di bawahnya, bersesuaian dengan tempat dan keadaan.

Syeikh Muhammad As-Suhaimi (selaku salah seorang syeikh dalam tariqat ini sebelum dia mengasaskan Tariqat Muhammadiyyah) ada membudayakan Maulid Barzanji pada setiap malam Jumaat dan Maulid Ad-Diba’I pada setiap malam Isnin. Kedua-dua majlis itu bukanlah daripada sukatan pendidikan Tariqat Ghazaliyyah, tetapi tidak ada halangan untuk memanfaatkannya. Yang tidak ada dalam sukatan, tidaklah dimestikan. Ikutlah budaya yang hendak diterapkan oleh syeikh mursyid masing-masing tetapi hendaklah dijelaskan mana kandungan tariqat yang asli dan mana yang bukan.


7.0 KARAMAH

Umumnya Tariqat Ghazaliyyah tidak berbicara tentang karamah. Sangat sukar untuk mendengar kisah-kisah karamah dalam tariqat ini. Karamah tidak menjadi tujuan dan tidak dimuatkan dalam sukatan pelajarannya. Hampir-hampir tidak ada diperkatakan. Jika ada disentuh pun ketika bual kosong sesama ikhwan, tidak dalam proses tarbiyyah. Orang yang berminat dengan hal-hal karamah, Tariqat Ghazaliyyah bukanlah tempat yang menggembirakan.

Imam Al-Ghazali  dan adiknya Imam Ahmad al-Ghazali banyak karamah mereka tetapi jika kita renung-renungkan, sangat sukar hendak mendapatkan apa-apa catatan tentang hal itu. Begitu juga dengan para penerus Tariqat Ghazaliyyah. Sekali imbas, seolah-olah tokoh-tokoh Tariqat Ghazaliyyah tidak ada karamah, kalau ada pun sangatlah sedikit. Tidak seperti tokoh-tokoh lain terutamanya wali-wali Allah yang banyak kisah karamah mereka. Hal ini kerana Tariqat Ghazaliyyah memang sangat kurang (mengelakkan) berbicara hal ehwal berkaitan karamah. Pada pandangan tariqat ini, banyak berbicara tentang hal ehwal karamah hanya akan mencuri masa kita dalam kehidupan yang tidak selama mana pun di dunia ini. Lebih baiklah alihkan perhatian kepada hal-hal yang lebih penting.

Dalam kitabnya Kimiya’ As-Sa’adah, Imam Al-Ghazali memetik kata-kata (doa) Bayazid Bustami : “Wahai Tuhan! Beberapa individu telah meminta dan berjaya mendapat kebolehan untuk melakukan karamah – berjalan di atas permukaan air, terbang di udara, namun aku tidak meminta itu semua. Beberapa individu lain telah meminta dan berjaya mendapatkan harta benda, namun bukan itu pula yang kuminta.”


8.0 ILMU LADUNI

Menurut Imam, ilmu laduni ialah ilmu yang boleh diusahakan tetapi hanya Allah yang menentukan. Sebab itu sukatan pelajaran tentang ilmu laduni terdapat dalam tariqat ini. Imam sendiri ada menyusun sebuah kitab yang khusus membicarakan ilmu laduni dan kaedah-kaedah untuk mendapatkannya iaitu Ar-Risalah al-Laduniyyah. Yang diajarkan itu ialah tentang ilmu laduni, bukannya ilmu laduni itu sendiri. Hal ini kerana ilmu laduni bukanlah ilmu yang boleh diajar atau dipelajari. Ia adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Hendaklah dibezakan antara “pelajaran tentang ilmu laduni” dengan “pelajaran ilmu laduni”. Dalam Tariqat Ghazaliyyah, kita hanya mempelajari kitab Ar-Risalah al-Laduniyyah karangan Imam Al-Ghazali untuk mengetahui tentang ilmu laduni. Itu sahaja.


9.0 DAKWAAN-DAKWAAN

Dalam Tariqat Ghazaliyyah tidak ada dakwaan-dakwaan yang hebat-hebat. Tidak diperkatakan di dalam tariqat ini dakwaan seperti Tariqat Ghazaliyyah inilah tariqat terbaik, tariqat akhir zaman, tariqat Al-Mahdi, tariqat Nabi Isa, tariqat tersunnah, tariqat nombor satu atau sebagainya. Semua ini tidak dibicarakan dalam Tariqat Ghazaliyyah.

Dakwaan yang dibuat oleh Syeikh Muhammad as-Suhaimi dalam kitabnya bahawa Tariqat Ghazaliyyah ini adalah “sebaik-baik dan seafdhal-afdhal tariqat” sebelum beliau mengasaskan Tariqat Muhammadiyyah adalah pandangan peribadinya, bukannya pegangan atau ajaran  Tariqat Ghazaliyyah. Harap dapat dibezakan antara pandangan peribadi dengan ajaran asal.


10.0 MUZIK

Tariqat Ghazaliyyah memandang penggunaan apa jua alat muzik adalah diharuskan, selagi tidak bercampur dengan hal-hal yang salah di sisi syara’. Hal ini dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin (Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) dan Kimiya’ As-Sa’adah (Kimia Kebahagiaan), dan dipertegaskan lagi oleh adiknya Imam Ahmad al-Ghazali dalam kitabnya Bawariq al-Ilma ar-Rad ‘ala man Yuharrim as-Sama’ bi al-Ijma’ (Kilauan Cahaya Terang dalam Menolak Orang yang Mengharamkan Muzik Melalui Ijma’).

Sungguhpun begitu, Tariqat Ghazaliyyah tidak menganjurkan apa-apa majlis zikir beramai-ramai yang berbentuk gerakan badan atau beralat muzik. Hal itu bukanlah daripada sukatan pelajaran Tariqat Ghazaliyyah, namun majlis-majlis sedemikian yang bersesuaian syarat-syaratnya dengan kehendak agama tidaklah boleh dikatakan salah.


11.0 ZIKIR MENARI

Tariqat Ghazaliyyah tidak mengamalkan zikir menari, berzikir sehingga menari, berzikir sambil menari, berzikir lalu menari atau sebagainya. Begitu juga dengan perlakuan terlompat-lompat, berguling-guling,  meronta-ronta atau seumpamanya.

Kita hendaklah membezakan antara “berzikir - beraktiviti” dengan “beraktiviti - berzikir. Contoh-contoh di atas tadi ialah perlakuan “berzikir – beraktiviti” atau “berzikir – teraktiviti”.

Contoh beraktiviti dan berzikir, beraktiviti lalu berzikir, beraktiviti sambal berzikir dan seumpamanya pula ialah kita berjogging sambil berzikir, berlumba lari lalu terzikir, mendayung kayak dan berzikir, bersilat dalam keadaan berzikir, dan sebagainya. Jenis yang kedua ini memang menjadi amalan Tariqat Ghazaliyyah.

Untuk duduk berseorangam atau beramai-ramai, melafazkan zikir secara perlahan atau keras, lalu kemudiannya “teraktiviti’ seperti memekik-mekik, menari-nari, berhempas-pulas atau sebagainya, tidaklah menjadi praktik dalam Tariqat Ghazaliyyah.

Jalan Tariqat Ghazaliyyah lebih kepada bersunyi-sunyi dan bersendiri.


12.0 KEDUNIAAN

Dalam Tariqat Ghazaliyyah, “tidak ada apa-apa”. Orang yang “mencari apa-apa” (nama, sanjungan, gelaran, harta, keselesaan dan kemewahan hidup, pengikut, hal-hal luar biasa, penghormatan orang, “title”, kedudukan dan sebagainya)  di dalam tariqat ini, mereka akan kecewa. Jika mahu “mencari apa-apa”, kenalah mencarinya di tempat lain. Setinggi mana pun kedudukan kita di tempat lain, dalam pemerintahan, dalam tariqat-tariqat lain, dalam gerakan, jemaah, bidang agama dan sebagainya, apabila menyertai Tariqat Ghazaliyyah, kita “tidak ada apa-apa” melainkan salah seorang abdi Allah (hamba Allah, abdullah).

Dalam Tariqat Ghazaliyyah, orang yang “mencari apa-apa”, dia akan hampa. Sebaliknya orang yang tidak “mencari apa-apa”, dengan izin Allah tidak mustahil dia akan “mendapat segala-galanya”. Wallahu’alam.

Tariqat Ghazaliyyah ini khusus sebagai satu jalan kerohanian untuk Allah semata-mata. Tariqat ini bukanlah tempat untuk mencari selain daripada itu seperti ilmu seni beladiri, ilmu perubatan, ilmu kesihatan, ilmu-ilmu luar biasa, ilmu gagah,  atau sebagainya. Namun tidak dinafikan pengamalan tariqat ini dengan izin Allah banyak membantu kemajuan kita dalam bidang-bidang lain yang kita ceburi. Hal ini kerana pengamalan tariqat ini dengan izin Allah sebenarnya merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apabila hubungan kita dengan-Nya sudah rapat, apa-apa hajat pun mudah untuk dikabulkan-Nya. Di situlah hubungannya.

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam Ihya’ : “Dan tidaklah tujuan menuntut ilmu itu untuk menjadi pemimpin, untuk memperoleh harta dan kemegahan, untuk melawan orang-orang bodoh, dan untuk berbangga kepada teman-teman.”


13.0 KEBENARAN BERAMAL

Amalan-amalan asas Tariqat Ghazaliyyah khususnya Zikir Harian dan Wirid Harian boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja yang mendapat tahu tentangnya. Sistem pengijazahan amalan tidaklah diberatkan sebagaimana umumnya dalam tariqat-tariqat lain memandangkan Tariqat Ghazaliyyah umumnya bukanlah berbentuk organisasi tetapi lebih bersifat “untuk semua”.

Hal ini telah dicontohi oleh Tariqat Alawiyah yang dikenali juga sebagai Tariqah As-Sadah Ba’lawi. Amalan-amalan asas Tariqat Alawiyah boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja sekalipun tidak melalui apa-apa proses seperti bai’ah, talqin, pemberian khirqah atau sebagainya. Contohnya, jika kita terbaca tentang wirid tariqat ini dan mahu mengamalkannya, boleh terus diamal tanpa perlu mengambilnya daripada mana-mana individu yang berautoriti dalam Tariqat Alawiyah tersebut.

(Sebenarnya Tariqat Alawiyah banyak mendapat inspirasinya daripada Tariqat Ghazaliyyah.
Menurut Habib Hasan bin Mohammad Al-Attas http://habibhasanalattas.blogspot.com/2009/12/tarikat-ahlul-bait-3.html : “Tarikat al-Alawiyah adalah Tarikat Ahli Sunnah wal Jama’ah. Ia berpegang teguh kepada al-Quran, dan Sunnah Rasulallah s.a.w. dan amalan para salaf. Zahirnya adalah al-Ghazaliyyah ataupun apa yang terdapat dalam kitab Imam al-Ghazali seperti Bidayah al-Hidayah, Ihya Ulumuddin, Minhaj al-Abidin dan lain-lain.”)

Cuba kita lihat amalan Zikir Harian tariqat Ghazaliyyah. Amalan ini tersebar ke serata pelusuk masyarakat secara begitu sahaja walaupun tanpa melalui apa-apa proses pengijazahan atau mana-mana muallim Tariqat Ghazaliyyah. Sebab memang begitulah method tariqat ini menyebar ke dalam masyarakat sejak zaman Imam Al-Ghazali lagi.

Kita sering terlihat poster-poster, sebaran-sebaran, risalah-risalah dan sebagainya yang memaparkan Zikir Harian di RNR, masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah, pejabat-pejabat, serata internet, media massa dan lain-lain. Biasanya ditulis sebagai “Zikir Harian” sahaja. Adakalanya dinyatakan sebagai “Zikir Harian Imam Al-Ghazali”. Dan hampir-hampir tidak ada lagi yang memaparkannya sebagai “Zikir Harian Tariqat Al-Ghazaliyyah”.

Siapa yang melakukan sebaran-sebaran atau promosi itu? Hampir semua penyebar itu ialah orang-orang biasa yang bukan bertariqat Al-Ghazaliyyah, bahkan mereka tak tahu menahu pun kaitan amalan itu dengan Tariqat Ghazaliyyah. Mendengar tentang Tariqat Ghazaliyyah pun majoritinya tidak pernah.

Maksudnya amalan-amalan Tariqat Ghazaliyyah ini memang sifatnya menyerap secara bebas dalam kalangan umat Islam tanpa perlu dinisbahkan kepada tariqat ini lagi. Majoriti besar umat Islam tidak tahu pun bahawa Zikir Harian yang mereka lihat atau amalkan itu adalah daripada Tariqat Ghazaliyyah.

Satu lagi amalan Tariqat Ghazaliyyah yang pernah menyebar dalam masyarakat ialah Wirid Harian. Di merata tempat orang mengamalkannya. Cuma sejak tahun-tahun 90-an sehingga sekarang nampaknya  amalan ini sudah semakin dilupakan. Kita perhatikan, amalan Zikir Harian dan Wirid Harian daripada Tariqat Ghazaliyyah ini tersebar bagaikan air hujan menimpa bumi. Ia jatuh ke atas seluruh ahli masyarakat. Sesiapa yang mahu menakung airnya boleh berbuat demikian dan sesiapa yang tidak mahu menakungnya juga dipersilakan. Tidak ada mana-mana syeikh, muallim atau ikhwan tariqat ini yang turun dari masjid ke masjid misalnya untuk mengesahkan pengamalan dalam masyarakat.

Kesimpulannya, secara umumnya amalan-amalan Tariqat Al-Ghazaliyyah ini tidak tersebar melalui kaedah majoriti tariqat lain yang mempunyai proses tertentu.

Soalan : Bolehkah saya mengamalkan Zikir Harian sedangkan saya tidak mengambil amalan ini daripada mana-mana guru Tariqat Ghazaliyyah?
Jawapan : Boleh.

Soalan : Bolehkah orang-orang yang berfahaman Salafi Wahhabi, Syiah, SIPLIS (sekularisme, pluralisme, liberalisme) dan lain-lain mempelajari Tariqat Ghazaliyyah?
Jawapan : Boleh saja. Semoga pelajaran itu dapat menjadi laluan awal kepada mereka ke arah manhaj ASWJ yang tulen. Bahkan orang-orang bukan Islam pun boleh sekiranya mahu mengambil tahu tentang tariqat ini. Semoga hal itu menjadi laluan awal mereka untuk memeluk agama Islam.

Soalan : Bolehkah saya mahu mendapatkan pengijazahan atau pengesahan amalan?
Jawapan : Boleh, tapi hal ini tidaklah menjadi pemberatan dalam Tariqat Ghazaliyyah. Boleh terus diamalkan sahaja amalan-amalan itu. (Namun mereka yang bakal dilantik sebagai mua’llim atau mursyid tariqat ini mestilah mereka yang sudah diijazahkan amalan, pengetahuan dan tariqat ini).

Soalan : Adakah tariqat ini khusus untuk umat Islam yang bermazhab fiqh tertentu?
Jawapan : Tidak. Tidak semestinya kami bermazhab Asy-Syafi’i maka ikhwan yang lain pun mesti bermazhab Syafi’i juga.

Soalan : Kami adalah ahli jemaah/perkumpulan sekian-sekian (seperti Tabligh, Ikhwanul Muslimin, tariqat Naqshabandiyyah, tariqat Tinajiyyah, NGO tertentu, ISMA, ABIM, Haluan, Hizbut Tahrir, parti-parti politik berasaskan Islam, IKRAM, atau sebagainya). Bolehkah bertariqat Ghazaliyyah?
Jawapan : Tentu sahaja boleh.  Bertariqat Ghazaliyyah tidak akan mengganggu perjalanan gerak kerja anda bersama jemah/perkumpulan yang anda sertai memandangkan betapa ringkas dan mudahnya amalan-amalan dalam Tariqat Ghazaliyyah ini. Ikhwan Tariqat Ghazaliyyah tidak dihalang untuk menganggotai mana-mana jemah/perkumpulan yang sesuai, cuma mungkin jemaah/perkumpulan itu yang tidak senang jika ahli-ahlinya bertariqat Ghazaliyyah. Antara pegangan Tariqat Ghazaliyyah ialah tidak berebut ahli dengan mana-mana pihak. Tariqat ini yang masih kekal sebagai “jalan” dan bukannya jemaah/organisasi, oleh itu ia tidak mencari dan mengumpul ahli, tetapi terus menyebar ke seluruh masyarakat sebagaimana sebelum-sebelum ini. Kita bebas untuk datang dan pergi dalam tariqat Ghazaliyyah.


14.0 TARBIYYAH LANJUTAN

Antara pelajaran lanjutan dalam Tariqat Al-Ghazaliyyah ini ialah kupasan kitab Imam seperti Al-Munqiz min adh-Dhalal, Ar-Risalah Al-Laduniyyah dan Misykatul Anwar. Ketiga-tiganya karangan Imam Al-Ghazali. Sekiranya tidak dikupas kitabnya pun, memadailah dengan guru mengasuh ikhwannya dengan berbekalkan panduan-panduan daripada kitab-kitab itu.


15.0 BACAAN TAMBAHAN

Sekiranya ada keluangan waktu, ikhwan Tariqat Ghazaliyyah bolehlah membelek-belek kitab Qut al-Qulub (Abu Talib Al-Makkiy) yang dalam bahasa Indonesianya ialah Quantum Qalbu,  kitab Sawanih (Imam Ahmad Al-Ghazali), dan kitab Tamhidat (Syeikh Ain al-Qudhat Hamadani) dan lain-lain.


16.0 TAWASUL

Tariqat Ghazaliyyah mengakui penggunaan tawasul  yang bersesuaian dengan lunas-lunas agama Islam. Namun begitu umumnya Tariqat Ghazaliyah tidak mengamalkan tawasul. Apa sahaja bentuk hubungan dengan Allah SWT memang dilatih sedari awal tarbiyyah supaya dilakukan secara langsung/terus. Jika hendak bertawasul pun ketika dalam darurat atau kecemasan, sebagaimana dalam kisah tiga orang yang terperangkap dalam gua lalu mereka bertawasul dengan amalan mereka, dan tawasul Saiyidina Umar r.a kepada Abbas r.a apabila kemarau hebat melanda wilayah mereka. Pendek kata, hal ehwal tawasul sangat jarang diperkatakan dalam tariqat ini, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu sudah melalui isi pelajaran kitab Misykatul Anwar.

Menurut Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna dalam Usul 20, Usul ke-15 : “Mengiringi doa dengan melakukan tawasul kepada Allah melalui makhluknya adalah masalah khilafiyyah dan cara berdoa, bukan tergolong dalam masalah aqidah.”


17.0 MENZIARAHI TINGGALAN, MAKAM, BINAAN ATAU SEBAGAINYA

Ziarah ke tempat-tempat ini tidak dilakukan secara khusus. Ikhwan Tariqat Ghazaliyyah tidak melakukan perjalanan khusus untuk menziarahi tempat-tempat ini kecualilah jika secara kebetulan tempat-tempat itu berada dekat benar dengan lokasi di mana kita sedang berada ataupun memang kita sedang melakukan kajian yang berkaitan. Membuat rombongan khas untuk menziarahi tempat-tempat itu tidak dipraktikkan dalam Tariqat Ghazaliyyah.

Menurut Hasan Al-Banna dalam Usul 20, Usul ke-14 : “Menziarahi kubur adalah Sunnah yang disyari’atkan dengan syarat menurut cara yang maasur (cara yang diterima daripada Rasulullah saw).”

Usul ke-13 pula mengatakan : “Mengasihi dan menghormati para solehin berdasarkan amal-amal soleh yang mereka lakukan adalah satu sudut dari qurbah (menghampirkan diri kepada Allah).

Soalan : Adakah amalan berdoa di atas kubur dilakukan?
Jawapan : Berdoa di tepi, di sisi, berhampiran atau di kawasan kubur tidaklah menjadi kesalahan, bukannya berdoa dalam keadaan jasad kita sedang berada di atas mana-mana kubur.

Soalan : Bagaimana dengan amalan berdoa kepada ahli kubur itu?
Jawapan : Kita memohon doa kepada Tuhan, bukannya memohon doa kepada mana-mana makhluk termasuklah ahli kubur itu.

18.0 BERTAPA

Tariqat Ghazaliyyah sangat menganjurkan amalan bertapa tetapi bukanlah bertapa sebagaimana yang biasa difahami orang ramai. Tidak anjurkan sebarang aktiviti mengasingkan diri di tempat-tempat terpencil seperti di hutan, bukit, gua, sungai, danau, rumah kosong, perkuburan, tempat keramat, lokasi pelik dan sebagainya. Sebaliknya uzlah yang sangat digalakkan dalam Tariqat Ghazaliyyah ini hendaklah dilakukan di masjid-masjid walaupun pada sepanjang tahun, atau setiap malam, lebih-lebih lagi pada sepanjang bulan Ramadhan dan lebih khusus lagi pada 10 malam terakhir. Bertapalah sebanyak mana pun, memang digalakkan asalkan janganlah sampai terganggu urusan penting seharian. Satu lagi tempat pertapaan yang digalakkan ialah di kediaman sendiri, iaitu pada sudut-sudut yang sunyi terutamanya pada malam hari. Terpulanglah sama ada untuk menghidupkan waktu-waktu tertentu, dua pertiga malam, seluruh malam ataupun seluruh hari. Bertapalah sepuas-puasnya dalam keadaan melakukan amal-amal soleh.

Soalan : Bukankah Imam Al-Ghazali ada pergi beruzlah jauh dari tempat asalnya selama 10 tahun?
Jawapan : Benar, tapi hendaklah difahami kondisinya adalah sebagaimana berikut :
1.       Dia beruzlah di masjid-masjid. Bukan di tengah padang pasir, di gua, di bukit, di makam, perigi buta atau tempat-tempat lain.
2.       Uzlahnya itu khusus untuk dirinya sahaja. Dia tidak pernah mengarahkan mana-mana muridnya termasuklah orang paling kanannya iaiatu adiknya sendiri Imam Ahmad Al-Ghazali pergi beruzlah ke mana-mana. Hal ini khusus bagi Imam Al-Ghazali sebagaimana khususnya keadaan tidak memakai kasut dan tidak menunggang kuda bagi Imam Malik di Madinah. Orang lain tidak diminta untuk mengikut kekhususan mereka.
3.       Dia pergi beruzlah sebegitu kerana pada zaman itu tidak ada sesiapa pun yang dapat dan layak memandunya untuk meningkatkan pencapaiannya dalam kerohanian melainkan dia sendirilah yang terpaksa mengusahakannya. Padahal pada zaman kita ini, begitu ramai guru dan pembimbing yang lebih atas daripada kita.


19.0 SOLAT BERJEMAAH

Solat berjemaah “di tempat azan diazankan” sangat dititikberatkan dalam Tariqat Ghazaliyyah. Imam Al-Ghazali sendiri beruzlah di masjid-masjid yang antara faktornya ialah agar Imam dapat menjaga solat berjemaah. Ikhwan Tariqat Ghazaliyyah akan berusaha untuk solat berjemaah di masjid atau surau berhampiran kecualilah jika ada urusan-urusan lain yang penting. Ikhwan tidak akan dengan sengaja solat fardhu di rumah, atau di tempat lain, atau di suatu lokasi yang hanya untuk ikhwan tariqat sahaja. Dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin, Imam Al-Ghazali memuatkan satu bahagian khas untuk menyatakan kepentingan solat fardhu berjemaah di tempatnya.

Antara fadhilat (kelebihan) solat berjemaah di tempatnya (dari pelbagai sumber termasuklah Ihya’) ialah :

“Solat berjemaah adalah 27 kali lebih baik daripada solat bersendirian.” (Bukhari, Muslim, Turmizi dll)

“Apabila seseorang itu telah berwudhuk dengan sempurna lalu menuju ke masjid dengan niat semata-mata hendak mengerjakan solat, maka setiap langkahnya mendapat pahala dan menghapuskan satu dosa.” (Bukhari)

*Sebab itu Ikhwan Tariqat Ghazaliyyah akan berusaha untuk berwudhuk siap-siap di rumah sebelum menuju ke masjid. Sekiranya terbatal, di masjid nanti boleh diperbaharui wudhuknya.

“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak  ada naungan kecuali naungan-Nya (iaiatu pada Hari Akhirat)……. (salah satu daripada golongan itu ) ialah seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.” (Bukhari  & Muslim)

“Sesiapa yang berjalan (atau berkenderaan) ke masjid pada waktu pagi dan petang, maka Allah akan menyediakan baginya di dalam syurga satu rumah jamuan setiap kali dia pergi ke masjid.” (Bukhari, Muslim, Ahmad dll)

Antara kecelaan sengaja tidak mahu pergi bersolat fardhu secara berjemaah pula :

“Seandainya seseorang (lelaki) itu tidak pergi ke masjid padahal dia telah mendengar azan tanpa sesuatu uzur syar’I yang kuat, maka solatnya ( di rumah/ di tempat dia berada) tidak akan diterima.” (Abu Daud, Ibnu Majah)

“Kalau seseorang itu ingin menemui Allah pada Hari Hisab sebagai seorang Muslim, dia mestilah bersolat di tempat azan dilaungkan.” (Muslim, Abu Daud)

“Sesungguhnya aku terfikir untuk menyuruh seseorang menjadi imam yang akan mengimami solat orang ramai, kemudian aku sendiri pergi mencari mencari orang-orang yang meninggalkan solat berjemaah (dengan sengaja) itu lalu aku bakar rumah-rumah mereka.” (Bukhari, Muslim)

“Aku ingin menyuruh budak-budak mengumpulkan kayu api banyak-banyak untukku dan kemudian aku hendak pergi dari rumah ke rumah orang-orang yang (dengan sengaja) solat di rumah masing-masing tanpa sesuatu uzur, lalu membakar (rumah)nya.” (Muslim)

“Sesungguhnya dua solat ini (iaitu solat fardhu berjemaah Isya’ dan Subuh) adalah solat yang paling berat bagi orang-orang munafik. Seandainyalah kamu tahu pahala yang ada dalam dua solat (berjemaah) ini, pasti kamu akan berlumba-lumba mendatanginya walaupun (kamu) terpaksa merangkak.” (Abu Daud, An-Nasa’i)

Hasan Al-Banna menegaskan dalam “Kewajipan Al-Akh Muslim” : “Saudara mestilah mengutamakan solat berjemaah dan solat di masjid sedapat yang mungkin.”

Tariqat Alawiyah juga menekankan hal ini, sebagaimana menurut habib Abdul Qadir bin Ahmad bin Abdurrahman As-Saqqaf : “Satu perkara dalam Tarikat al-Alawiyah ialah selalu berada dalam wuduk, jika batal akan terus beruduk lagi. Begitulah biasanya. Selalu tidak sembahyahyang fardhu melainkan berjamaah dan di masjid pula, melainkan jika ada kepayahan.” (http://habibhasanalattas.blogspot.com/2009/12/tarikat-ahlul-bait-2.html )


20.0 HAL-HAL ANEH

Dalam Tariqat Ghazaliyyah tidak ada hal-hal aneh seperti nikah batin, guru ghaib datang mengajar, berkait dengan makhluk halus, taksub kepada apa atau sesiapa, beristeri lebih daripada 4 orang pada satu-satu masa, zat Allah dna zat makhluk itu satu, zat makhluk berasal daripada zat Allah, hulul, menurun, terbatal syariat, ajaran-ajaran batiniyyah, ajaran-ajaran Syiah, ajaran-ajaran sesat,  ilmu-ilmu kesaktian, perbomohan, silat seru, mengerjakan haji di tempat selain di Tanah Arab, meninggalkan amal-amal fardhu, berlafaz zikir dengan kalimah-kalimah yang tidak diketahui, mengaku diri sendiri sebagai Allah, bertapa di tempat-tempat sunyi, mengaku diri sebagai Al-Mahdi atau Nabi Isa, menyembah makhluk, sujud atau rukuk kepada manusia atau jin, gila isim, sihir/ilmu hitam, dan sebagainya.

Pegangan dan amalan ikhwan Tariqat Ghazaliyyah sama sahaja dengan pegangan dan amalan umat Islam seluruhnya, cuma jalan kerohaniannya sahaja yang mengikut jalan kerohanian Imam Al-Ghazali.


21.0 BENTUK SEBENAR TARIQAT GHAZALIYYAH

Tariqat Ghazaliyyah ialah jalan kerohanian. Jalan kerohanian ini diasaskan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Oleh itu umumnya Tariqat Ghazaliyyah :
1.       bukanlah sebuah jemaah, organisasi atau perkumpulan sebagaimana tariqat-tariqat lain atau jemaah-jemaah lain. Boleh beramal dengan Tariqat Ghazaliyyah dan sertailah mana-mana jemaah atau perkumpulan yang sesuai sekiranya kita mahu berkumpulan.
2.       bukanlah satu perkumpulan dakwah. Amallah Tariqat Ghazaliyyah dan sertailah mana-mana kumpulan dakwah sekiranya kita mahu berdakwah secara berjemaah.
3.       bukanlah satu pertubuhan politik. Amalkan Tariqat Ghazaliyyah dan sertailah mana-mana kumpulan politik yang sesuai sekiranya kita suka.
4.       bukanlah sebuah badan amal kebajikan.  Amal tariqat Ghazaliyyah dan terpulanglah untuk menyertai mana-mana badan amal yang selaras dengan kehendak Islam.
5.       bukanlah sebuah pertubuhan yang mempunyai trend rohani semata-mata, kerana tariqat ini bukan pertubuhan pun. Boleh sahaja amal Tariqat Ghazaliyyah lalu sertailah mana-mana ‘group’ kerohanian.
6.       bukan juga satu organisasi ilmuwan dan cendekiawan. Masuklah mana-mana kumpulan cerdik pandai dalam keadaan bertariqat Ghazaliyyah, tidak ada apa-apa masalah pun.
7.       bukan juga sebuah perkumpulan jihad bersenjata.
8.       bukan Mazhab Fekah. Amallah mana-mana mazhab yang muktabar.

Pendek kata, Tariqat Ghazaliyyah bukanlah sebuah perkumpulan. Oleh itu janganlah disamakan Tariqat Ghazaliyyah ini dengan mana-mana perkumpulan. Tariqat Ghazaliyyah juga bukanlah sebuah sekolah lafaz zikir yang ahli-ahlinya banyak habiskan masa dengan melafazkan bunyi-bunyi zikir sahaja.

Persoalan : Bukankah dalam Tariqat Ghazaliyyah juga ada hubungan antara guru dan murid, dan sesekali ikhwan tariqat ini duduk bersama-sama atau beraktiviti?

Jawapan : Memang benar, namun perkumpulannya sangatlah kecil (kadang-kadang seorang guru dan seorang murid sahaja di satu-satu tempat atau pada satu-satu zaman sebagaimana pahlawan jedi dalam filem Star Wars) dan sekadar untuk meneruskan kelangsungan jalan Al-Ghazaliyyah ini dari generasi ke generasi. Hubungan sesama ikhwan tariqat ini adalah atas dasar mempunyai “jalan kerohanian yang sama”, bukan kerana mereka berada dalam organisasi/jemaah/perkumpulan yang sama. Oleh kerana itulah di negara ini kita dapat melihat apabila sesekali ikhwan Tariqat Ghazaliyyah berkumpul, terdapat ahli-ahli dari perkumpulan lain seperti dari Tabligh, parti-parti politik, ABIM, ISMA, jemaah-jemaah tariqat lain, pelbagai NGO, Nahdatul Ulama, pelbagai jemaah dan termasuklah juga orang-orang yang tidak berkait dengan mana-mana organisasi pun.

Persoalan : Berdasarkan “bentuk’ Tariqat Ghazaliyyah ini, kelihatan ia bukanlah dalam kalangan tariqat-tariqat yang biasa kita ketahui hari ini.

Pencerahan : Memang benar. Tariqat Ghazaliyyah masih kekal dalam formatnya yang asal iaitu “jalan” dan bukannya organisasi.

Kita biasa terbaca bahawa pada suatu zaman atau masa dahulu, ulama-ulama menulis terdapat 40 tariqat yang muktabar, namun ramai juga ulama yang menulis jumlahnya 41. Kemudina mereka pun menyenaraikan satu-persatu nama tariqat-tariqat itu. Mengapa timbul perbezaan ini?

Hal ini berlaku kerana terdapat perselisihan sama ada Tariqat Ghazaliyyah hendak dimasukkan sama atau tidak. Majoriti ikhwan Tariqat Ghazaliyyah sendiri dan sebahagian ulama lain tidak bersetuju tariqat ini disenaraikan sekali memandangkan ia tidak tersusun sebagai satu organisasi. Menurut mereka, Tariqat Ghazaliyyah perlu dikekalkan dalam bentuk asalnya, sebagai “jalan” dan menyebar kepada seluruh umat Islam. Satu pihak lagi berpandangan eloklah jika Tariqat Ghazaliyyah disenaraikan sekali agar ia terus dipandang muktabar. Masing-masing ada hujah tersendiri.

Kita juga biasa terbaca karangan ulama terdahulu yang contohnya lebih kurang :

1.       Al-Faqir (penulis) dari segi usuluddinnya mengikut Mazhab Asha’ari dan Maturudi, dari segi fiqhnya mengikut Mazhab Asy-Syafi’i, dan dari segi tasawufnya menurut Mazhab Al-Ghazali.
2.       Dari segi usuluddin saya berpegang dengan Asha’ari, dari segi fiqh saya berpegang dengan Hanafi, dan dari segi tasawuf dengan Junaid al-Baghdadi.
3.       Asha’irah dan Maturudiyyah jalan usulku, Syafi’iyyah jalan fiqhku, Junaid dan Al-Ghazali jalan tasawufku.

Dari segi mazhab usuluddin, biasanya disebut Asha’irah dan Maturudiyyah.
Dari segi mazhab fekah, biasanya disebut Hanif, Maliki, Syafi’i atau Hanbali.
Dari segi mazhab tasawuf, biasanya disebut Junaid atau Al-Ghazali, atau kedua-duanya sekali.

Kemudian setelah itu baru dinyatakan apakah tariqat yang dipakai oleh seseorang ulama itu seperti Sammaniyyah, Khalwatiyyah, Naqshabandiyyah dan sebagainya.

Dari sini mungkin kita boleh nampak di mana sebenarnya kedudukan Tariqat Al-Ghazaliyyah dan tariqat Junaidiyyah yang masih kekal sebagai “jalan tasawuf”. Namun Tariqat Junaidiyyah juga sudah sepenuhnya menjadi organisasi tariqat.

Begitulah kata guru kami. Wallahua’lam.


22.0 HAL-HAL KHILAF

Tariqat Ghazaliyyah bersikap meraikan hal-hal khilaf sesama Ahli Sunnah wal Jamaah. Perjidalan (perdebatan) apatah lagi pertengkaran sangat dilarang lebih-lebih lagi sesama Ahli Sunnah wal Jamaah, kecualilah kalau terpaksa sangat. Kerasnya penolakan terhadap perjidalan ini boleh diteliti bahasannya dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam. Oleh itu, dalam hal-hal yang bukan persoalan pokok dalam agama, Tariqat Ghazaliyyah sentiasa bersikap meraikan pandangan yang berbeza.


  
·         Kemaksini dan Penambahan maklumat untuk  :
-          kali ke-3 dibuat pada 12 Disember 2014.
-          kali ke-4 pada 6 Februari 2016.












No comments:

Post a Comment