“Pakaian” utama
bagi ikhwan Tariqat Al-Ghazaliyyah tidak lain ialah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin
karangan Al-Imam sendiri (Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali). Oleh itu, ikhwan
yang berjauhan dengan mursyid hendaklah berusaha mencari majlis pengajian kitab
Ihya’ ‘Ulumuddin. Oleh kerana majlis kitab Ihya’ sukar didapati di negara ini,
maka hendaklah para ikhwan berusaha untuk sekurang-kurangnya duduk dalam majlis
pengajian kitab Minhaj al-‘Abidin (satu lagi karya Imam). Lebih-lebih lagi
kepada ikhwan yang kurang keupayaan untuk menghayati kitab Minhaj secara
sendiri-sendiri.
Kitab Minhajul
‘Abidin ini dikarang oleh Imam kemudian daripada kitab Ihya’. Isi kandungannya
merupakan petikan dan ringkasan kepada kitab Ihya’. Apabila seseorang itu sudah
pernah melalui keseluruhan kitab Ihya’ sekurang-kurangnya sekali, maka
memadailah kitab Minhaj sebagai pakaiannya. Begitulah maksud Imam. Tidak
perlulah kita mengulanglalu keseluruhan kitab Ihya’ memandangkan sedemikian
tebalnya dan halusnya kupasan kitab Ihya’. Jadi peranan kitab Minhaj ialah
sebagai kit ulangkaji kepada mereka yang sudah pernah melalui kitab Ihya’.
Kitab Minhaj agak mudah untuk dibawa bersama ke mana-mana berbanding kitab
Ihya’ yang sangat tebal, maka hubungan diri/jiwa dengan manhaj Tariqat
Ghazaliyyah tidaklah terputus, dan supaya “pakaian” tidak terlucut.
Selain itu, oleh
kerana untuk melalui kitab Ihya’ ini memakan masa yang panjang dan sukar pula
didapati majlisnya, ramai orang khususnya ikhwan Al-Ghazaliyyah sendiri yang
tidak atau belum berpeluang melalui kitab Ihya’. Dalam kes sebegini, kitab
Minhaj bolehlah dijadikan pakaian sekalipun “tidak cukup tebal kainnya” dan
“kurang kemas sulaman benangnya”, sekalipun belum pernah atau belum habis
melalui kitab Ihya’. Kata orang, tak dapat rotan, akar pun memadailah.
Sekiranya tidak
dapat juga, paling kurang pun di rantau Nusantara ini, carilah majlis kitab
Siyarus Salikin (oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani). Hal ini kerana kitab Siyarus
Salikin bolehlah dikatakan sebagai petikan dan ringkasan kitab Ihya’ di Alam
Melayu.
Sekiranya tidak
ada juga, kemungkinan besar kita memang jenis yang tidak berusaha mencari.
Majlis-majlis kitab Minhaj dan Siayarus Salikin ada di serata pelusuk negeri.
Insya-Allah kita sedang mengumpulkan maklumat tentang majlis-majlis kitab
Minhaj dan Siyarus Salikin di seluruh negara untuk disebarkan maklumat
tentangnya.
Berhati-hati
wahai teman! Tidak memadai untuk para ikhwan Tariqat Ghazaliyyah berpakaian dengan
kitab atau majlis kitab Bidayatul Hidayah (sebuah lagi karangan Imam) dan kitab
Hidayatus Salikin (ringkasan Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Abdus Samad
al-Falimbani) kerana tidak mencapai had minimum maksud (matlamat/objektif)
kitab Ihya’ sebagai pakaian ahli-ahli Tariqat Ghazaliyyah. Untuk pengajian umum
memang sesuai.
Tidak memadai
juga dengan kitab atau majlis kitab Tazkiyyatun Nafs (Syeikh Sa’id Hawa),
Mau’izatul Mu’minin (Syeikh Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasyqi), Bimbingan Mu’min
(terjemahan Mau’izatul Mu’minin), Buku Putih Ihya’, Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin,
Minhaj al-Qasidin (Ibnul Jauzi & Ibnu Qudamah) dan seumpamanya, kerana
semua kitab ini sekalipun ada sedikit-sebanyak kaitan dengan Ihya’ tetapi tidak
mencapai had minimum maksud kitab Ihya’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Imam.
Jika tahap lulus sesuatu kertas peperiksaan untuk ikhwah ialah 40 markah
daripada 100 markah, maka isi kandungan kitab-kitab di atas tadi tidak mencapai
pun 40 markah. Semua itu memang bagus diajarkan kepada umum tetapi tidak
memadai sebagai pakaian ikhwan Tariqat Al-Ghazaliyyah.
Hendaklah
difaham hal ini baik-baik.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment