HIKAM AL-GHAZALI 1
Akhirat itu di hadapan.
Dunia itu di belakang.
Ajal itu dekat.
Perjalanan itu jauh.
Perbekalan itu sedikit.
Bahaya itu besar.
Dan jalan itu tertutup.
Dunia itu di belakang.
Ajal itu dekat.
Perjalanan itu jauh.
Perbekalan itu sedikit.
Bahaya itu besar.
Dan jalan itu tertutup.
SYARAH
“Akhirat itu di hadapan,
dunia itu di belakang.”
Sekarang kita berada di
alam dunia. Kemudian setiap daripada kita akan mengalami kematian. Ketika mati,
kita ditempatkan buat sementara waktu di suatu alam yang dinamakan alam barzakh
atau disebut juga sebagai alam kubur. Alam barzakh ini merupakan pemisah, pembatas,
sekatan, dinding, sekaligus jambatan antara alam duniawi dengan alam akhirat.
Alam barzakh ialah satu lokasi ghaib dan juga satu jarak masa. Ringkasnya alam barzakh ialah suatu keadaan
yang akan dialami oleh seseorang ketika mati sehinggalah dibangkitkan semula di
akhirat nanti.
“Hingga apabila kematian
tiba ke atas seorang daripada mereka, dia berkata : “Wahai Rabbku,
kembalikanlah aku (hidup di dunia). Agar aku dapat berbuat kebaikan yang telah
aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah alasan yang di
ucapkannya sahaja. Di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sehinggalah hari
mereka dibangkitkan.” (Al-Mu’minun
: 100)
Akhirat
ialah alam terakhir yang akan dihuni oleh manusia dan jin. Disebut juga sebagai
alam paling kemudian. Alam akhirat merupakan alam paling kemudian yang bakal
kita pergi. Di alam akhirat inilah ada himpunan di Mahsyar, timbangan amal, kolam
Nabi Muhammad saw, titian, syurga, neraka dan sebagainya.
“Kebaikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke arah
barat, tetapi kebaikan itu ialah orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat,
para malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, ……… ” (Al-Baqarah : 177)
“Iaitu engkau beriman (percaya) kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya,
rasul-rasulNya, hari akhir, dan engkau beriman akan takdir yang baik ataupun
yang buruk.” (Bukhari &
Muslim)
Mengapa dikatakan akhirat
itu di hadapan dan dunia itu di belakang? Kerana tanpa disedari kita semua
sebenarnya sedang berada dalam satu perjalanan, iaitu perjalanan meninggalkan
dunia menuju ke lokasi terakhir iaitu akhirat. Kita sentaiasa dalam keadaan
melangkah, tanpa kita sedari. Detik demi detik, hari-hari, minggu-minggu dan
tahun-tahun yang kita lalui tidak lain adalah jarak perjalanan kita ke sana.
Setiap detik, kita semakin meninggalkan dunia di belakang dan semakin
menghampiri akhirat yang berada di hadapan. Namun umumnya hati kita cenderung tertipu
apabila meyakini bahawa kita masih sangat dekat dengan dunia dan masih sangat
jauh daripada akhirat.
Masa atau jarak yang telah
kita lewati walaupun sedetik yang lalu, bahkan kurang daripada itu pun,
sebenarnya jaraknya sangat jauh daripada kita. Hal ini kerana masa atau jarak
yang sebentar tadi kita lalui, tidak akan kembali, tidak akan kita temui lagi. Oleh
itu ia sangat jauh. Sebaliknya, masa hadapan termasuklah alam akhirat yang
entah bila akan tiba itu, walau sekejap lagi atau walau ribuan tahun lagi, tetap
dikira dekat kerana kita sedang menghampirinya dan pasti akan bertemu
dengannya.
“Ajal itu dekat.”
Mengapa dikatakan ajal itu
dekat? Kerana ajal kita boleh datang pada bila-bila masa. Sekejap lagi? Malam
ini? Esok? Minggu depan? Bulan depan? Tahun ini? Bahkan sekarang pun tidak
mustahil. Alangkah dekatnya ajal dengan kita? Persoalannya…….adakah kita bersedia?
“Dan (ingatlah bahawa)
Allah tidak sesekali akan menangguhkan kematian seseorang apabila sampai
ajalnya. Dan Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang segala yang kamu
lakukan.” (Al-Munafiqun : 11)
Hujjatul Islam Imam
Al-Ghazali menulis di dalam kitabnya Nasihat Buat Para Penguasa sebuah kisah
iktibar yang sesuai untuk kita jadikan pengajaran.
Diceritakan bahawa
Malaikat Maut (dalam rupa seorang manusia) pernah masuk ke tempat Nabi Sulaiman
bin Dawud as. Pandangan tajam malaikat itu tertumpu kepada teman Nabi Sulaiman
as dan pandangannya cukup lama.
Ketika malaikat itu sudah
keluar, teman Nabi Sulaiman as bertanya : “Wahai Nabi Allah! Siapakah lelaki
yang masuk ke sini tadi?”
“Malaikat Maut.”
“Aku takut dia
bertujuan mencabut nyawaku. Oleh itu, bebaskanlah aku daripada terkaman
tangannya.”
“Bagaimana cara untuk
kau membebaskan kamu?” tanya Nabi Sulaiman as.
“Perintahkanlah angin
agar membawa aku ke negeri India supaya dia tersesat tidak tahu dan tidak dapat
menemui aku.”
Nabi Sulaiman as ketika
itu juga memerintahkan angin supaya menerbangkan lelaki itu.
Tidak berapa lama
kemudian Malaikat Maut datang menemui Nabi Sulaiman as lagi.
“Apa yang membuatkan
engkau memandang lelaki itu begitu lama?” tanya Nabi Sulaiman as.
“Aku hanya berasa
hairan, kerana aku diperintahkan mencabut nyawa lelaki itu di bumi India. Namun
ketika itu (tadi) dia sangat juauh dari India, sampailah angin membawanya ke
tempat kematian. Itulah ketentuan Allah SWT.”
Ambillah iktibar daripada
kisah ini.
Orang-orang yang masih
berlengah dan berasakan ajalnya masih jauh, adalah orang-orang yang tertipu
dengan dunia. Orang-orang seperti itu apabila tiba-tiba sampai ajalnya, keluar
nyawanya jadi sukar. Hal ini kerana mereka tidak bersedia untuk melepaskan
nyawa sedangkan malaikat sedang menariknya. Sebab itulah keadaan mati mereka
kelihatan azab, sehinggakan ada yang tenat dalam tempoh yang sangat lama, ada
yang terlompat-lompat tubuhnya di pembaringan, yang menjerit-jerit dan
sebagainya.
“Datanglah
sakaratulmaut dengan sebenar-benarnya. Itulah dahulu yang kamu mahu hindari.” (Qaf : 19)
“Kematian yang
paling ringan adalah seperti sebatang pohon penuh duri yang menancap pada
selembar kain sutera. Bolehkah batang pohon berduri itu diambil tanpa membawa
bahagian kain sutera yang terobek?” (Bukhari)
Sebaliknya bagi
orang-orang yang sentiasa membuat persediaan, apatah lagi yang cinta untuk
bertemu dengan Tuhannya, mati mereka kelihatan licin dan tenang. Hal ini adalah
kerana mereka dengan senang hati melepaskan nyawa mereka. Inilah golongan yang
meyakini bahawa ajal itu dekat. Biasa kita dengar keadaan orang-orang yang mati
dalam keadaan tersenyum, dalam keadaan tenang, dalam keadaan dia kelihatan tahu
nyawanya akan habis sebentar lagi, dan sebagainya.
“Yang banyak ingat akan mati dan yang lebih
kuat buat persediaan untuk itu. Merekalah orang-orang yang pintar, yang pergi
dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat.” (Ibnu Majah)
Sebanyak mana kita mencintai
dunia, sebanyak itulah kesukaran kita untuk melepaskan nyawa ketika Malaikat
Maut tiba. Lagi kurang kita mencintai dunia, lagi mudah kita melepaskannya
ketika sakaratul maut.
Orang-orang yang payah
untuk melepaskan nyawanya biasanya kerana hatinya masih terpaut, kasih sayang dan
rindu dendam akan rumahnya yang selesa, hartanya di sini dan di sana, jawatan
dan kedudukannya yang mulia, gaji bulanannya yang besar, wang simpanannya yang
akan tidak dapat digunakannya lagi, kenderaan-kenderaan selesa miliknya selama
ini, kebun dan ladang, tanah dan bangunan, kemasyhuran yang dikecapinya selama
ini, dan pelbagai lagi yang bakal ditingalkannya buat selama-lamanya sebentar
sahaja lagi, yang akan terlepas ke tangan-tangan orang lain tidak lama lagi.
Oleh sebab itu, dia enggan melepaskan nyawanya, membuatkan masa kematiannya
kelihatan penuh seksa. Baik jenis yang “ada ditangan, ada di hati” ataupun
jenis yang “tidak ada di tangan, tapi ada di hati”.
“Katakanlah :
Sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri
kamu, kaum keluarga kamu, kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu
khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yan kamu sukai, adalah
lebih kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad
pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya. Allah
tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah : 24)
Sebaliknya bagi
orang-orang yang dalam hatinya tidak terkesan dengan semua itu, sekalipun
memang dia memilikinya, dengan mudah dia melepaskan nyawanya. Kata orang, “ ada
di tangan, tidak di hati”. Ataupun yang “tidak
ada di tangan, dan tidak juga di hati”. Sebab itu masa matinya kelihatan
lancar.
“Perjalanan itu
jauh.”
Perjalanan apakah yang
jauh? Perjalanan kita untuk sampai ke destinasi terakhir iaitu sama ada
beristana di syurga ataupun merempat di neraka.
Perjalanan ini mempunyai
beberapa hentian. Setiap satu hentiannya mesti disinggahi, tidak boleh tidak.
Antara hentian wajib itu ialah :
i.
Zaman hidup di dunia.
ii.
Zaman sakaratul maut.
iii.
Zaman alam barzakh/alam kubur.
iv.
Zaman Mahsyar.
v.
Zaman timbangan amal.
vi.
Zaman titian sirat.
Umumnya bolehlah dikatakan
bahawa pada hari ini, rata-rata jangka hayat orang-orang yang agak sihat di
dunia ini adalah sekitar 60 ke 80 tahun. Sekali dengar nampak macam lama, tapi
sebenarnya zaman hidup di dunia ini sangat singkat. Zaman yang singkat ini pun
kadang-kadang tak larat untuk kita tempuhi kerana kepelbagaian dugaan dan
cabarannya.
“Dia (Allah)
berfirman : “Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab : “Kami
tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari (sahaja), maka tanyakanlah kepada
mereka yang menghitung.” Dia (Allah) berfirman : “Kamu tinggal di bumi sebentar
sahaja, jika kamu benar-benar mengetahui.” (Al-Mu’minun : 112-114)
Zaman sakaratul maut,
sungguhpun biasanya kita temui sekadar beberapa minit, tetapi Allah berkuasa
memanjangkannya selama mana yang dikehendakiNya. Hal ini kerana Allah Maha
Berkuasa ke atas masa. Masa di sisiNya boleh dipendekkan atau dilanjutkanNya
mengikut kemahuanNya.
Sebab itulah kadang-kadang
kita saksikan seseorang itu melalui sakaratul mautnya dalam dua tiga minit,
tetapi di sisi Allah mungkin seksaan yang dialami oleh orang itu berhari-hari.
Cuma kita yang masih hidup terhijab daripada menyaksikan keadaan itu.
Seterusnya hentian zaman
alam kubur. Allah boleh panjangkan selama mana yang dikehendakiNya. Jika
bahagia, bahagialah kita pada zaman itu. Jika sengsara, sengsaralah kita selama
berada di zaman itu.
Kemudian kita dibangkitkan
semula pada zaman Mahsyar. Entah berapa ribu berapa juta tahun pula di sana. Begitu
juga ketika di timbangan yang sangat ketat proses hisabnya.
Sampai pula kita ke zaman
titian. Entah berapa ribu berapa juta tahun pula di atasnya.
“Dan mereka meminta
kepadamu (wahai Muhammad) agar azab itu disegerakan. Padahal Allah tidak akan
memungkiri janjiNya. Dan sesungguhnya sehari di sisi Rabbmu adalah seperti
1,000 tahun menurut kiraan kamu.”
(Al-Hajj : 47)
Sekarang kita sudah boleh
menjawab sendiri, apakah perjalanan itu dekat ataupun jauh.
Bagaimana usaha kita
selaku hamba untuk melalui setiap hentian itu dengan jayanya? Bak kata
guru-guru tua, tentunya dengan menggunakan ‘Ilmu Penahan Api Neraka’!
Apakah Ilmu Penahan Api
Neraka itu? Iaitu melakukan segala suruhan Tuhan dan meninggalkan segala
laranganNya. Inilah Ilmu Penahan Api Neraka. Dengan ilmu ini, insya-Allah kita akan dapat melewati kesemua
hentian itu dengan lancar.
“Perbekalan itu
sedikit.”
Sediakanlah bekalan untuk
hidup di dunia, sepadan dengan usia kita di dunia. Juga sediakanlah bekalan
untuk hidup di akhirat, sepadan dengan kekalnya kita di sana. Namun rata-rata
manusia dan jin sibuk membuat perbekalan untuk hidup di dunia yang sebentar
ini, dan hanya buat perbekalan yang memang sangat tidak cukup untuk hidup di
akhirat yang selama-lamanya itu.
“Dan tidaklah
kehidupan di dunia itu selain daripada permainan dan senda-gurau sahaja, dan
sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang
bertaqwa. Tidakkah kamu faham?” (
Al-An’am : 32)
“Wahai orang-orang
yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu : “Berangkatlah pada jalan
Allah”, kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu? Adakah kamu berpuas
dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat, padahal kehidupan
di dunia ini (dibandingkan dengan) di akhirat hanyalah sedikit?” (At-Taubah : 38)
Maha Pemurahnya Allah terhadap
kita! Dia Maha Mengetahui bahawa tempoh masa kita hidup di dunia ini sangat
pendek, sedangkan perbekalan yang mahu disiapkan itu bakal digunakan untuk
selama-lamanya. Mana mungkin dalam tempoh 60 ke 80 tahun di dunia ini dapat
kita sediakan perbekalan untuk makan minum, tempat perlindungan dan pakaian di
alam yang selama-lamanya! Untuk sejuta tahun punya perbekalan sahaja pun
mustahil dapat kita sediakan, apatah lagi untuk selama-lamanya.
Atas dasar itulah, Dia
Yang Maha Pengasih dan Penyayang menganugerahkan kepada kita fadhail ‘amal
(kelebihan-kelebihan beramal). Kita buat kebajikan sedikit, tapi dibayar dengan
ganjaran yang berlipat kali ganda.
Lihatlah betapa besarnya
ganjaran melakukan kebaikan, Malam Al-Qadar, mengeluarkan harta pada jalan
agama, berpuasa enam hari pada bulan Syawal, dan sebagainya.
“Barangsiapa
melakukan kebaikan, mendapat balasan sepuluh kali ganda amalannya. Dan
barangsiapa melakukan kejahatan, dibalas setimpal dengan kejahatannya. Mereka
sedikitpun tidak dizalimi.”
(Al-An’am : 160)
“Malam Al-Qadar itu
lebih baik daripada 1,000 bulan.”
(Al-Qadr : 3)
“Perumpamaan orang
yang mengeluarkan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir biji yang
menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya ada serratus biji. Allah
menggandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha
Mengetahui.” (Al-Baqarah : 262)
“Sesiapa yang
berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti enam hari pada bulan Syawal, dia
seolah-olah telah berpuasa sepanjang masa.” (Muslim)
“Barangsiapa yang
solat Isya’ berjemaah seumpama mendirikan separuh malam, dan barangsiapa yang
solat Subuh berjemaah seumpama mendirikan seluruh malam.” (Muslim)
Dari segi pertimbangan
akal fikiran, nampak seakan-akan tidak sepadan ganjaran-ganjaran yang
dikurniakan Allah berbanding usaha yang kita buat. Tidakkah terang-benderang
lagi betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita? Walaupun waktu
yang diberikan-Nya kepada kita sekadar puluhan tahun, tetapi kita sangat
berpeluang untuk mengumpulkan bekalan untuk hidup di alam yang selama-lamanya
itu, iaitu alam akhirat. Alhamdulillah, syukur……
“Bahaya itu besar.”
Salah satu faktor
dikatakan bahaya itu besar kerana proses yang bakal kita lalui adalah sangat
panjang. Dari sekarang sampailah ke destinasi terakhir kita, yang kita harapkan
syurga hendaknya , mungkin akan memakan masa ribuan tahun, jutaan tahun atau
sebagainya, bergantung kepada nasib masing-masing yang sudah ditentukan oleh
Allah SWT sejak azali.
“Dan mereka meminta
kepadamu (wahai Muhammad) agar azab itu disegerakan. Padahal Allah tidak akan
memungkiri janjiNya. Dan sesungguhnya sehari di sisi Rabbmu adalah seperti
1,000 tahun menurut kiraan kamu.”
(Al-Hajj : 47)
Tidak seorang pun
pemilik simpanan yang tidak menunaikan haknya (seperti zakat) kecuali Allah
akan menjadikan untuknya kepingan-kepingan timah yang dipanaskan di neraka Jahannam,
kemudian kening dan dahi serta
belakangnya diseterika dengannnya (kepingan-kepingan timah itu) sehinggalah
Allah SWT berkenan menetapkan keputusan anatara hamba-hambaNya pada hari yang
lamanya 50,000 tahun menurut hitungan kalian. Setelah itu ia akan melihat jalannya,
mungking ke syurga dan mungkin ke neraka.” (Ahmad)
Demi jiwaku yang
berada di dalam genggamanNya, sesungguhnya hari itu dipendekkan bagi orang
beriman hinggakan lebih pendek daripada solat wajibnya ketika di dunia.” (Ahmad)
Dikatakan juga bahaya itu
besar kerana sekiranya kita mengalami kerugian, kerugian itu tidak ada
tandingannya dengan segala kerugian yang kita alam dalam kehidupan di dunia
ini. Jika di dunia kita tidak cukup makan, hidup menderita, cacat, sakit
berpanjangan, panas, diseksa, dimalukan dan sebagainya, paling lama pun sekadar
ratusan tahun bagi manusia dan ribuan tahun bagi golongan jin. Tapi jika kita
mengalami semua itu di akhirat, tempoh masanya tidak terhad. Ada yang menderita
bertahun-tahun, ada yang ribuan tahun, ada jutaan tahun, atau yang
selama-lamanya.
Berdiri lama berbaris di
kaunter pasar raya pun kita sudah mengeluh, apatah lagi menunggu yang jauh
lebih lama di Mahsyar, ketika timbangan amal, ketika di titian dan sebagainya.
Sanggupkah kita dengan
saja-saja berada dalam bilik air, dalam kereta, atau dalam lubang pokok tanpa
keluar-keluar selama bertahun-tahun? Dalam beberapa hari sahaja pun kita tidak
mahu. Jadi, sanggupkah kita untuk tinggal ribuan tahun dalam jurang-jurang api
neraka?
“Sesungguhnya
seringan-ringan seksaan ahli neraka pada Hari Qiamat ialah orang yang ditelapak
kakinya diletakkan bara api yang mendidihkan otaknya.” (Bukhari & Muslim)
“Kecuali jalan ke
neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan hal itu mudah bagi
Allah.” (An-Nisa’ : 169)
Fahamlah, alangkah bahaya
itu besar!
“Jalan itu
tertutup.”
Jalan ke destinasi
terakhir kita itu tertutup kerana ia tidak mudah dikesan oleh akal fikiran,
tidak kelihatan oleh pandangan, tidak terdengar oleh telinga, tidak terhidu
oleh hidung, tidak terasa oleh lidah dan tidak tersentuh oleh jasad.
“Alif Lam Mim. Kitab
(Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, (menjadi) petunjuk kepada orang-orang
yang bertaqwa. (Iaitu) mereka yang beriman akan yang ghaib, mendirikan solat,
dan menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Al-Baqarah : 1-3)
Apa yang menyebabkan jalan
itu tertutup?
Antaranya kerana tertutup
oleh zaman. Hal-hal yang belum kita alami, yang belum sampai masanya, tidak
dapat kita saksikan. Orang yang belum melalui proses sakaratul maut, tentulah
belum dapat menyaksikan proses sakaratul maut itu. Orang yang belum melalui
proses timbangan amal, tentulah belum dapat menyaksikan nilai pahala dan dosa. Begitulah
seterusnya. Secara tidak langsung, jalan itu tertutup kerana belum dapat
disaksikan oleh mata di kepala. Namun mata hati sedikit-sebanyak dapat menerima
pantulan-pantulannya jika kena dengan caranya.
Sebab itulah ada hamba-hamba
Allah yang menafikan adanya hari akhirat.
“Sesungguhnya mereka
pasti berkata : “Tidak ada kematian selain kematian di dunia ini. Dan kami tidak akan dibangkitkan.” (Ad-Dukhan : 34-35)
Alangkah tertutupnya jalan
itu kepada mereka!
Jalan itu juga tertutup
oleh syaitan, hawa nafsu kita dan keadaan sekeliling kita yang ringkasnya
disebut ‘dunia’. Syaitan, hawa nafsu dan keadaan kita seakan-akan bersepakat
untuk menjauhkan kita daripada jalan itu. Mereka berusaha keras untuk menghijab
kita dengan hijab yang tebal, agar jalan itu terus tertutup daripada kita.
“Kamu dilalaikan
oleh perlumbaan memperbanyak (terutamanya harta benda). Sampailah kamu masuk ke
dalam kubur.” (At-Takatsur : 1)
Apabila jalan itu
tertutup, maka ramailah manusia dan jin yang sering terlepas pandang atau
kurang peduli akan jalan itu. Oleh itu para nabi, para wali, para ulama dan
orang-orang yang punya kesedaran tentang jalan itu gigih berusaha untuk mengingatkan
semula manusia dan jin tentangnya.
Bagaimana usaha kita untuk
mengetahui perihal jalan itu?
Mata di kepala punya
penyuluhnya iaitu matahari yang di langit. Mata hati juga ada penyuluhnya,
punya mataharinya iaitu Al-Quran. Untuk mendapatkan manfaat daripada Al-Quran, kita
yang serba dhaif ini hendaklah mengambilnya daripada mereka yang punya
pengetahuan tentang matahari hati ini iaitu para anbiya’, para auliya’ atau
para ulama’. Dari sinilah sedikit demi sedikit pengetahuan kita tentang jalan
itu akan semakin jelas.
Namun kita jangan lupa,
bahawa pada hakikatnya, yang menutup kesemua jalan itu tidak lain ialah Allah
SWT sendiri. Hanya Dia sahaja yang berkuasa membuka atau menutup. Selain Dia,
langsung tidak ada sebarang kuasa. Begitulah dari segi hakikatnya. Namun dari
segi syariatnya, kita yang berada di landasan Ahlu Sunnah wal Jama’ah mestilah
gigih berusaha untuk mengetahuinya sekadar kemampuan kita, agar dapat kita
mengambil manfaat dan tindakan yang sewajarnya. Apalah nilai ilmu tanpa
tindakan…
ANTARA TINDAKAN KITA
i)
Bersyukur kepada Allah SWT kerana telah melorongkan kita untuk
mengikuti syarahan ini dan mengambil manfaat daripadanya.
ii)
Kita mestilah mencari dan mendapatkan pengetahuan tentang alam yang
sedang dan alam yang bakal kita lalui dan hentian-hentiannya. Juga
bekalan-bekalan yang perlu dibuat untuk melalui setiap hentian itu.
iii)
Kita mestilah buat persediaan untuk menghadapi mati kerana ia boleh
berlaku pada bila-bila masa mulai sekarang. Sekurang-kurangnya apabila saat itu
tiba, berkuranglah sedikit keterkejutan kita dan mudahlah untuk kita melepaskan
nyawa. “Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan (mati).”
(Turmizi, An-Nasa’I, Ibnu Majah).
iv)
Janganlah sampai kita jatuh hati dengan perkara dan benda keduniaan,
kerana semua itu akan memudaratkan kita pertamanya ketika sakaratul maut. Tidak
salah memiliki, cuma jangan sampai jatuh hati.
v)
Tanamkan ingatan dalam diri bahawa dunia ini sangat sekejap dan akhirat
itu selama-lamanya. Hendaklah selalu diulang ingat agar sebati dengan diri.
vi)
Sampaikan ilmu ini kepada saudara-saudara kita yang lain agar mereka
juga beroleh manfaatnya. Dan tidak mustahil suatu ketika nanti apabila kita
terlupa, merekalah yang akan mengingatkan kita semula.
No comments:
Post a Comment